Saturday 7 August 2010

Al-Quran Zaman Moden

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Sumber : www.imranshamsir.com

Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan teknologi, al-Quran juga begitu. Di zaman yang serba moden dan canggih ini, terdapat pelbagai bentuk al-Quran selain dari mushaf Rasm Uthmani yang biasa digunakan oleh majoriti umat Islam di dunia.

Ketika ini, al-Quran boleh didapati dalam beberapa bentuk :

  1. Al-Quran Digital
  2. Audio al-Quran
  3. Perisian (Software) al-Quran

Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang mungkin mengelirukan ramai umat Islam terutamanya tentang hukum menyentuh, memegang dan membawa al-Quran. Ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini.

1. Al-Quran Digital

lal-Quran Digital

Kini terdapat pelbagai bentuk dan jenama al-Quran digital. Brand atau jenama yang paling dikenali di Malaysia ialah Enmac dan Khaleefa. Semuanya dalam bentuk portable dan mudah alih.

Kelebihan menggunakan al-Quran ini adalah ianya mempunyai pelbagai fungsi. Selain dari objektif asal penggunaannya sebagai mushaf, terdapat fungsi tambahan seperti ebook reader, penunjuk arah kiblat, penggera (alarm) dan sebagainya.

2. Audio al-Quran

CD al-Quran

Audio al-Quran ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk juga. Sama ada dalam bentuk CD, Kaset dan file dalam bentuk mp3 yang boleh dimainkan dalam komputer, PDA, telefon bimbit atau gadget-gadget yang lain.

Saya mengklasifikasikan audio al-Quran dalam kategori ini untuk membezakannya dengan al-Quran digital yang lebih kepada fungsi visual.

3. Perisian al-Quran

software al-Quran

Selain dari dua kategori yang saya nyatakan di atas, al-Quran zaman moden juga boleh didapati dalam bentuk perisian (software) al-Quran. Software paling banyak digunakan ialah Quran In Word, al-Mushaf dan sebagainya.

HUKUM MENYENTUH AL-QURAN

Pertama : Ijma’ fuqaha’ menetapkan harus membaca al-Quran tanpa berwudhu, namun berwudhu itu lebih afdhal (Imam Syaraf an Nawawi, al-Majmu’ Jilid 2, ms 76)

Kedua : Khilaf fiqhi, Jumhur (termasuk Syafi’iyah) menegah orang yang berhadas kecil membaca, menyentuh dan membawa mushaf berdasarkan dalil dari al-Quran Surah al-Waqi’ah : 78-79 dan hadis riwayat Malik dan Baihaqi dari Umar bin Hizam.

Seorang pengkaji semula hukum-hukum feqah dari Saudi, Syaikh Abu Yusof Abd Rahman Abd Samad, al-As’ilatu Thalatah Haulaha al-Jadal merumuskan dari perselisihan fuqaha’ ini, hukum pertengahan ialah makruh hukumnya orang berhadas menyentuh dan membawa mushaf.

DALIL DAN HUJAH

1. Dalil golongan yang mengatakan haram:

Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Waqiah ayat 78-79 :

Surah al-Waqiah 78-79

Pada Kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuzh), Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.

Ulama’ mengatakan ganti nama nya dalam ayat itu kembali kepada al-Quran, bukannya Luh Mahfuz. Akan tetapi mereka berbeza pendapat, apakah yang dimaksudkan dengan al-Mutahharun?

Ada yang berpendapat : Orang yang suci dari hadas dan najis. Manakala yang lain pula mengatakan : Suci dari syirik dan kekufuran, iaitu orang-orang mukmin. [sila rujuk Tafsir al-Qurtubi 17/226]

Sebahagian ulama’ berpendapat, ganti nama tersebut merujuk kepada Luh Mahfuz. Jadi, tidak boleh berhujah dengan ayat ini. al-Mutahharun pula adalah para Malaikat yang Allah bersihkan mereka dari tabiat yang negatif dan sifat-sifat yang tercela.

Ayat ini sebenarnya satu penafian dan penolakan kepada hujah golongan Musyrikin yang mendakwa Syaitanlah yang telah menurunkan kitab al-Quran ini. Sila rujuk ayat 210-212 surah al-Syu’ara’.

Surah al-Syuara' 210-212

Dan al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun al-Quran itu, dan merekapun tidak akan Kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar al-Quran itu.

Antara hujah yang menyokong pendapat ini, sebagaimana yang disebut oleh Qatadah ialah al-Quran boleh dipegang di dunia ini oleh si Majusi dan si Munafiq yang dianggap najis, sedangkan dalam ayat 79 surah al-Waqiah , ia tidak dipegang kecuali oleh mereka yang suci. [sila rujuk Tafsir al-Tabari 17/226]

Al-Alusi menyebut di dalam tafsirnya Ruhul Ma’ani (27/155) : Imam Sayuti menyebut di dalam kitab al-Ahkam: Imam Syafie berdalilkan ayat ini dengan mengatakan orang yang berhadas tidak boleh memegang al-Quran. Ini adalah pilihan yang zahir dari ayat ini.

Akan tetapi oleh kerana ada ihtimal (kemungkinan) ganti nama boleh kembali kepada Qur’an atau juga kepada Luh Mahfuz, dan maksud al-Mutahharun ialah Malaikat al-Muqarrabun, kebanyakan ulama’ yang mengatakannya haram berdasarkan kepada dalil daripada hadis.

Manakala Ibnu Rusyd pula berkata (Bidayatul Mujtahid 1/42) : Sebab khilaf ialah perkataan al-Mutahharun yang boleh membawa makna manusia dan juga malaikat, di samping ayat ini juga boleh jadi suatu perkhabaran yang bermaksud larangan dan juga boleh jadi perkhabaran semata-mata.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatta’, dari Abdullah bin Abu Bakar bin Hazmi, bahawa dalam kitab yang ditulis oleh Rasulullah s.a.w kepada ‘Amru bin Hazmi terdapat: أن لا يمس القرآن إلا طاهر (bahawa tidak boleh memegang al-Quran kecuali orang yang suci) [Muwatta' 141].

Hadis ini merupakan petikan dari kitab yang ditulis oleh Nabi kepada ‘Amru bin Hazmi di Yaman. Kitab ini berada bersama kaum keluarga beliau selepas kematiannya.

Al-Dar al-Qutni dan al-Hakim pula meriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz telah menghantar wakil ke Madinah untuk mencari sesuatu petunjuk sunnah Nabi dalam bab zakat dan wakilnya itu telah menjumpai kitab ini dalam simpanan keturunan ‘Amru bin Hazmi [lihat komentar Syeikh Ahmad Syakir dlm kitab al-Muhalla oleh Ibn Hazmi 1/82].

Syeikh Ahmad Syakir menyebut bahawa beliau telah menjumpai hadis ini selengkapnya dalam Mustadrak al-Hakim (1/359, cetakan India) di mana sebahagian darinya terdapat juga di dalam Sahih Ibnu Hibban, Sunan al-Dar al-Qutni dan Sunan al-Nasaie.

Komentar tentang hadis ini ialah sanadnya mursal. Ibnu Abdil Barri berkata : Tiada khilaf dari Imam Malik bahawa hadis ini mursal. Walau bagaimanapun ia diriwayat secara bersanad dari jalan lain yang bagus.

Ia adalah sebuah kitab yang masyhur di kalangan ahli sejarah dan terkenal di kalangan ulama’ di mana kemasyhurannya itu menyebabkan ia tidak perlu (dilihat) kepada sanadnya [kata-kata ini dinukil oleh penyunting kitab Muwatta’ ms 141].

Ibnu Kathir menyebut bahawa Abu Daud telah meriwayatkan di dalam kitab al-Marasil dari hadis al-Zuhri bahawa beliau berkata : Aku telah membaca di dalam sahifah Abu Bakar bin Amru bin Hazmi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci.

Ibnu Kathir berkata : Ini adalah sesuatu yang bagus. Al-Zuhri dan lain-lain telah membacanya, dan yang seperti ini sepatutnya diambil (dipegang) [Tafsir Ibnu Kathir 6/537].

Hadis ini diriwayatkan secara bersambung sanadnya dari empat orang sahabat, iaitu ‘Amru bin Hazmi, Hakim bin Hizam, Ibnu Umar, dan Uthman bin Abi al-‘As.

Al-Marhum Syeikh Nasiruddin al-Albani [di dalam kitab Irwa’ul Ghalil (1/160-161)] telah menyebut kesemua sanad hadis ini dan kitab-kitab hadis yang mentakhrijnya, kemudian beliau berkata : Sesungguhnya kesemua jalan hadis ini tidak bebas dari unsur dhaif.

Akan tetapi dhaifnya itu adalah kecil kerana tiada perawi yang dituduh sebagai pendusta. ‘Illah hadis ini hanya irsal atau hafalan yang kurang baik, dan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam ilmu Mustolah al-Hadis bahawa setiap jalan periwayatan hadis boleh menguatkan di antara satu sama lain sekiranya tiada rawi yang dituduh pendusta.

Ini telah dinyatakan oleh al-Nawawi di dalam Taqribnya dan al-Suyuti di dalam syarahnya. Dan ini menyatakan penerimaan terhadap kesahihan hadis ini, lebih-lebih lagi Imam Ahmad telah berhujah dengan hadis ini.

Imam Ishaq bin Rahawaih juga telah mentashihkannya. Ishaq al-Maruzi berkata di dalam kitab Masail Imam Ahmad : Aku bertanya Imam Ahmad : Bolehkah seorang lelaki itu membaca Quran tanpa wudhu? Imam Ahmad menjawab : Ya, boleh. Tapi dia tidak boleh membacanya dengan memegang mushaf selagi dia tidak berwudhu.

Ini kerana telah thabit dari Nabi S.A.W : Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci. Begitulah juga yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabiein.

Syeikh al-Bani juga menyebut bahawa telah thabit dan sah riwayat yang mengatakan Sa’ad bin Abi Waqas telah menyuruh anaknya Mus’ab supaya berwudhu dahulu sebelum menyentuh al-Quran. Ia diriwayatkan oleh Imam Malik dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.

Beliau juga berkata bahawa beliau telah membaca kitab Fawa’id Abi Syu’aib dan mendapati Imam al-Baghawi telah bertanya Imam Ahmad tentang hadis ini. Imam Ahmad berkata : Aku harap ianya sahih.

Sebenarnya kesahihan hadis ini juga telah dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Beliau telah berhujah dengan hadis ini di banyak tempat dalam kitabnya [lihat Majmu’ Fatawa 17/12 & 21/228]

Al-San’ani berkata : Kitab ‘Amru bin Hazmi telah sepakat diterima ramai. Ibnu Abdil Barri pula berkata : Ia seperti mutawatir kerana telah sepakat diterima ramai.

Ya’qub bin Sinan juga berkata : Aku tidak tahu di sana ada sebuah kitab yang lebih sahih dari kitab ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabiein merujuk kepadanya dan meninggalkan pendapat mereka sendiri.

Al-Hakim berkata : Umar bin Abdul Aziz dan Imam zamannya, iaitu al-Zuhri telah menyaksikan bahawa kitab ini adalah sahih [lihat Subul al-Salam oleh al-San’ani 1/70]

2. Dalil golongan yang mengatakan boleh.

Ibnu Hazmi berkata : Membaca al-Quran, memegangnya, dan berzikir kepada Allah adalah perbuatan baik yang disunatkan dan diberi pahala kepada pelakunya. Sesiapa yang mengatakan ia dilarang perlulah membawakan bukti! [al-Muhalla 1/78]

Hadis dalam Sahih Bukhari : dari Ibnu Abbas bahawa Abu Sufyan ketika beliau berada di Syam sebelum keislamannya telah dipanggil oleh Raja Rom. Kemudian dibawakan surat Nabi S.A.W yang dihantar kepadanya menyeru beliau kepada Islam. Di dalam surat itu terdapat ayat 63 Surah ali-Imran.

Hujah mereka ialah Nabi S.A.W telah menulis kepada Raja Rom yang kafir dan beliau telah memegangnya. Sekiranya orang kafir boleh memegangnya, maka lebih-lebih lagilah orang yang berhadas.

HUKUM MENYENTUH AL-QURAN BUKAN DALAM BENTUK MUSHAF

Berkata Syeikh Abdul Rahman ibn Nasir al-Barraak :

Telefon bimbit dan alat-alat yang serupa dengannya dimana terdapat rakaman al-Quran didalamnya tidak termasuk dibawah hukum yang sama dengan mushaf, kerana huruf al-Quran didalam peralatan in adalah berbeza dari huruf didalam Mushaf.

Ia tidak berbentuk sebagaimana ia dibaca. Ia wujud sebagai bentuk gelombang yang membentuk huruf apabila diperlukan, maka ia dipaparkan di skrin, kemudian hilang apabila beralih kepada ayat lain. Berdasarkan ini, adalah dbenarkan memegang telefon bimbit atau kaset yang merakam al-Quran tersebut. Dibenarkan membacanya, walaupun tidak suci (tanpa wudhu).

KESIMPULAN

Terpulang kepada pembaca untuk berpegang kepada salah satu hukum sama ada boleh atau tidak menyentuh dan membawa al-Quran tanpa wudhu. Namun hukum membaca al-Quran tanpa wudhu adalah diharuskan.

Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan diatas, maka saya berpegang kepada hukum makruh menyentuh dan membawa al-Quran tanpa wudhu. Namun hukum ini diguna pakai pada mushaf sahaja. Manakala bagi peralatan dan gadget zaman moden ini tidak tertakluk pada hukum tersebut.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA FERRARI

REPLIKA FERRARI

REPLIKA BIKERZ

REPLIKA BIKERZ
Powered By Blogger

PERKEMAT DQ 06/07

PERKEMAT DQ 06/07

IBNU HAJI ABD KARIM © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO