Thursday, 9 December 2010

Tips Jika Penerbangan Dalam Tempoh Agak Panjang..

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

MENAIKI pesawat adalah cara tercepat untuk sampai ke destinasi pilihan. Tetapi, ia bergantung juga kepada jarak sesuatu perjalaanan itu.

Justeru, jika penerbangan itu lebih daripada tiga jam, mungkin tip melancong ini dapat membantu supaya perjalanan yang panjang menjadi lebih menyenangkan.

1. Jenis pakaian yang sesuai
Pilih pakaian yang memudahkan anda untuk bergerak dan menyerap peluh. Selain itu, bagai yang tidak tahan sejuk, ada baiknya anda memakai pakaian yang sedikit tebal atau jaket untuk mengelak daripada anda kesejukan sepanjang penerbangan.

2. Rilekskan kaki dan tangan
Di dalam penerbangan, kaki perlu lebih relaks dan bebas bergerak. Sebaiknya tanggalkan atau longkarkan tali kasut anda. Bagaimanapun, pastikan anda memakai sarung kaki bagi menahan kesejukan.


Anda juga boleh melakukan senaman ringan di tempat duduk. Antaranya, menggerakkan atau merenggangkan tangan, duduk tegak dan mengangkat kaki seperti sedang berkawat.

3. Segarkan badan
Makan sebelum menaiki pesawat. Ia lebih menyegarkan badan. Untuk kesegaran kulit, anda boleh mengelap dengan tuala suam atau memakai losen badan.

4. Jalan-jalan
Jika tidak selesa kerana duduk terlalu lama, anda boleh berjalan-jalan di sepanjang lorong pesawat. Bagaimanapun, pastikan pesawat dalam keadaan stabil dan tanda pasangkan tali pinggang keledar sudah dipadamkan.

Anda juga boleh berdiri dan melakukan senaman kecil di sebelah tempat duduk. Untuk mengelak daripada mengganggu penumpang yang lain, minta izin daripada penumpang di sekitar anda.

5. Minyak urut
Bawalah minyak urut dan gosok di tengkuk apabila badan berasa tidak selesa. Bagi mengelak mengganggu penumpang lain, bawa minyak yang beraroma lembut atau wangi.

Anda atau penumpang lain akan lebih tenang dan selesa dengan aroma itu dalam penerbangan.


Wednesday, 17 November 2010

Kiswa Baru Untuk Kaabah

Bismillah ar-rahman ar-Rahim...

Kain penutup Kaabah yang dikenali sebagai 'Kiswa' diganti baru dalam satu majlis tahunan di Makkah yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

Menurut sebuah akhbar tempatan di Makkah, Saudi Gazette, majlis pemasangan Kiswa yang baru itu disempurnakan oleh para petugas dari Majlis Agung yang menjaga Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Kiswa baru berharga SR20 juta (100 Saudi Riyal bernilai kira-kira USD26.67) setinggi 14 meter yang diperbuat dari sutera serta bersulam benang emas itu dihasilkan di sebuah kilang khas.

Ia turut merangkumi satu langsir di bahagian pintu Kaabah yang diperbuat daripada sutera khas, enam setengah meter tinggi dan tiga meter lebar, yang dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang disulam indah dengan benang diperbuat daripada emas dan perak.

Friday, 29 October 2010

Formula Mencari Muka Surat Juzu' Dalam Al-Quran

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Formula ini boleh digunakan bagi Al-Quran Rasm Uthmani yang standard, sama ada Mushaf Al-Madinah An-Nabawiyyah, Arab Saudi atau Mushaf Tajwid cetakan Darul Ma’rifah, Syria, sama ada berbentuk cetakan kertas atau program/Al-Quran Flash.


besarnya kekuasaan Allah

Berikut adalah formulanya:

Contoh 1:

Untuk mencari Juzuk 14:

14 - 1 = 13
13 x 2 = 26
Kemudian,tambah angka 2 di hujung nombor 26 tadi, menjadi 262. Jadi, permulaan Juzuk 14 adalah pada muka surat 262.
Luasnya ilmu Allah

Contoh 2:

Untuk mencari Juzuk 19:

19 - 1 = 18
18 x 2 = 36

Kemudian,tambah angka 2 di hujung nombor 36 tadi, menjadi 362. Jadi, permulaan Juzuk 19 adalah pada muka surat 362.

Sumber : http://ucmitosboy.blogspot.com

Tuesday, 12 October 2010

Para Huffaz Harta Tidak Ternilai - Lim Guan Eng

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

GEORGETOWN, 11 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggangap para huffaz merupakan harta yang tidak ternilai pada negara kerana memerlukan kepimpinan berketrampilan dan mempunyai cara hidup beragama yang tinggi.

Katanya, jika tidak mengamalkan cara hidup beragama yang tinggi beliau yakin negara boleh musnah ekoran krisis moral yang semakin mengancam negara.

"Para huffaz sama ada yang hadir pada hari ini atau yang ada di luar negara adalah harta yang tidak ternilai pada negara. Kepimpinan yang berakhlak mulia akan mengemudikan negara dengan baik," ujarnya ketika berucap sempena Majlis Pengiktirafan Al-Hafiz dan Ijtimak Huffaz Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, pagi tadi.

Oleh itu, sambung beliau sejak tiga tahun lepas Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan sumbangan kepada golongan terbabit sebagai menghargai jasa mereka yang sanggup menghafal Al-Quran.

Kerajaan juga, ujarnya menyalurkan bantuan khusus kepada aktiviti keagamaan semata-mata memartabatkan Islam di negeri ini dan hasil program tersebut terhadap pertambahan 40 orang huffaz untuk tahun ini berbanding tahun lalu.

Ia juga, katanya selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mahu melahirkan 'satu keluarga satu hafiz'.

"Saya yakin hasil dari pengiktirafan itu menambahkan lagi para huffaz di negeri ini. Untuk tahun ini sahaja saya difahamkan 40 orang telah dilahirkan. Ini satu kebanggaan," tegasnya.

Selain memberikan pengiktirafan kepada para huffaz yang hadir kerajaan negeri juga memberikan sumbangan kepada Johan Program Imam Muda, Muhammad Asyraf Mohd Ridwan yang telah menaikkan imej Negeri Pulau Pinang serta boleh dijadikan motivasi kepada para huffaz di sini.

Beliau merupakan seorang huffaz lulusan Maahad Tahfiz Al Quran Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (Kitab).

Turut hadir dalam majlis tersebut Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama (Dr) Abdul Rahman Abas.

Monday, 6 September 2010

Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM 2010 Kembali...

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Sumber : http://mybkpjm.org

Tidak lama lagi, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Agenda saban tahun BKPJM ini sangat penting bagi kita dalam menentukan hala tuju BKPJM, membincangkan masalah-masalah yang berlaku, bahkan menyuarakan idea dan pendapat yang bernas. Mesyuarat merupakan salah satu suruhan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, seperti disebut dalam Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud :

dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah.

Mesyuarat merupakan satu acara yang penuh dengan etika dan tatatertib tersendiri. Bukanlah mesyuarat itu satu tempat untuk kita menyuarakan segala perkara tanpa pertimbangan, bukan juga ia tempat kita memberi ceramah. Lebih-lebih lagi apabila kita mengadakan mesyuarat yang melibatkan ahli yang ramai seperti MAT. Selalunya MAT menjadi panjang dan membosankan akibat kurang faham ahli mesyuarat tentang apa tujuan sebenar mesyuarat, dan tidak tahu etika mesyuarat. Justeru, penerangan perlu diberi dan persediaan perlu dilakukan sebelum sesuatu mesyuarat yang besar seperti MAT dijalankan.

1 - Ahli mesyuarat perlu bersedia untuk bermesyuarat. Ahli mesyuarat perlu tahu tujuan sebenar mesyuarat supaya tiada perkara yang sia-sia dibincangkan, atau menjadikan mesyuarat tempat menyampaikan tazkirah dan peringatan. Juga, pengetahuan tentang agenda mesyuarat penting supaya kita tidak membincangkan perkara yang luar dari agenda, atau menyuarakan sesuatu perkara bukan pada tempatnya. Begitu juga, elakkan mesyuarat dari menjadi tempat kita bertanyakan informasi yang boleh didapati di luar mesyuarat, seperti "Sejauh manakah keberkesanan...", "Bagaimanakah kesan...", dan lain-lain seumpamanya.

2 - Jangan mempersoalkan perkara yang sia-sia.
Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkata yang baik atau diam. Soalan seperti perincian mengenai item - item mudah dalam akaun hanya merugikan masa ahli mesyuarat. Mana-mana soalan yang boleh difikirkan jawapan secara logik tidak perlu dipersoalkan.

3 - Tepati masa. 1 minit kita membazir dalam mesyuarat, bermakna kita membazirkan 1 minit masa yang cukup berharga bagi setiap ahli mesyuarat. Jika ada 60 orang ahli mesyuarat, bermakna kita telah merugikan masa persatuan sebanyak 1 jam ! Bahkan, 1 jam tadi tidak mungkin kita akan dapat kembali. Justeru, datanglah awal ke mesyuarat, tepati arahan pengerusi mesyuarat untuk berhenti, dan jangan bercakap yang sia-sia. Bukankah perbuatan sebegini menzalimi rakan-rakan kita yang hadir?

4 - Patuhi arahan pengerusi mesyuarat. Pengerusi mesyuarat merupakan pemimpin kita, justeru patuhilah beliau selagi mana tidak bertentangan dengan Syariat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa' ayat 59 yang bermaksud "Taatilah Allah dan taatilah Rasulnya dan pemimpin dari kalangan kamu".


Perancangan sesuatu acara besar dan panjang seperti Mesyuarat Agung Tahunan sesebuah persatuan memang memeningkan. Dengan pelbagai isu dan masalah timbul, ditambah pula kekangan masa yang menyesakkan, menyebabkan perjalanan sesuatu Mesyuarat Agung Tahunan dirancang dengan cukup teliti. Justeru, sebagai ahli mesyuarat yang baik, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan sebaiknya.

Wednesday, 11 August 2010

Sejarah Daerah Pontian

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Sumber : http://ms.wikipedia.org


Pontian ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia yang terletak 62 kilometer dari Johor Bahru, ibu negeri Johor. Ibu daerah Pontian ialah Pontian Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini.

Pontian diduduki oleh orang Melayu yang berketurunan Bugis dan Jawa, terutamanya di kawasan pesisiran. Kebanyakan Cina di Pontian adalah berketurunan Teochew.

Tanjung Piai terletak di Mukim Serkat, Pontian dan merupakan titik yang paling selatan di benua Asia. Pekan-pekan lain adalah:

Sebanyak 11 mukim di daerah Pontian. Berikut adalah mukim-mukim yang terdapat dalam daerah Pontian.

Pontian boleh dihubungi melalui Lebuh raya Utara selatan. Pengunjung dari arah utara boleh menggunakan susur keluar Tol Simpang Renggam ataupun susur keluar Tol Sedenak untuk ke Pontian. Pontian tidak mempunyai perkhidmatan kereta api tetapi boleh berbuat demikian dengan menggunakan stesen terdekat KTM Kulai untuk berbuat demikian.

MUZIUM BUGIS

muziumbugis

Bugis adalah salah satu rumpun Melayu yang berasal dari Sulawesi dan datang berhijrah ke Tanah Melayu pada lewat kurun ke-18 dan 19. Atas tujuan memperkenalkan dan mengabadikan budaya dan cara hidup komuniti Bugis di Johor, sebuah muzium telah dibina di daerah Pontian. Di Muzium Bugis ini, para pengunjung akan berpeluang melihat pelbagai artifak orang Bugis dan berbual dengan penjaga muzium yang berketurunan Bugis yang akan menceritakan tentang budaya dan adapt resam mereka.

Panduan: Jika pengunjung menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, sila ikut susur keluar Simpang Renggam dan ambil jalan ke arah Benut. Dari Benut, bergerak ke arah selatan jalan menuju ke Bandar Pontian. Dari Bandar Pontian, pengunjung terus bergerak ke selatan kira-kira 9km melewati Pekan Rambah. Di sana pengunjung akan melihat papan arah menuju ke Muzium Bugis yang tidak jauh dari Pantai Rambah.

Saturday, 7 August 2010

Al-Quran Zaman Moden

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Sumber : www.imranshamsir.com

Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan teknologi, al-Quran juga begitu. Di zaman yang serba moden dan canggih ini, terdapat pelbagai bentuk al-Quran selain dari mushaf Rasm Uthmani yang biasa digunakan oleh majoriti umat Islam di dunia.

Ketika ini, al-Quran boleh didapati dalam beberapa bentuk :

  1. Al-Quran Digital
  2. Audio al-Quran
  3. Perisian (Software) al-Quran

Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang mungkin mengelirukan ramai umat Islam terutamanya tentang hukum menyentuh, memegang dan membawa al-Quran. Ulama’ berbeza pendapat mengenai perkara ini.

1. Al-Quran Digital

lal-Quran Digital

Kini terdapat pelbagai bentuk dan jenama al-Quran digital. Brand atau jenama yang paling dikenali di Malaysia ialah Enmac dan Khaleefa. Semuanya dalam bentuk portable dan mudah alih.

Kelebihan menggunakan al-Quran ini adalah ianya mempunyai pelbagai fungsi. Selain dari objektif asal penggunaannya sebagai mushaf, terdapat fungsi tambahan seperti ebook reader, penunjuk arah kiblat, penggera (alarm) dan sebagainya.

2. Audio al-Quran

CD al-Quran

Audio al-Quran ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk juga. Sama ada dalam bentuk CD, Kaset dan file dalam bentuk mp3 yang boleh dimainkan dalam komputer, PDA, telefon bimbit atau gadget-gadget yang lain.

Saya mengklasifikasikan audio al-Quran dalam kategori ini untuk membezakannya dengan al-Quran digital yang lebih kepada fungsi visual.

3. Perisian al-Quran

software al-Quran

Selain dari dua kategori yang saya nyatakan di atas, al-Quran zaman moden juga boleh didapati dalam bentuk perisian (software) al-Quran. Software paling banyak digunakan ialah Quran In Word, al-Mushaf dan sebagainya.

HUKUM MENYENTUH AL-QURAN

Pertama : Ijma’ fuqaha’ menetapkan harus membaca al-Quran tanpa berwudhu, namun berwudhu itu lebih afdhal (Imam Syaraf an Nawawi, al-Majmu’ Jilid 2, ms 76)

Kedua : Khilaf fiqhi, Jumhur (termasuk Syafi’iyah) menegah orang yang berhadas kecil membaca, menyentuh dan membawa mushaf berdasarkan dalil dari al-Quran Surah al-Waqi’ah : 78-79 dan hadis riwayat Malik dan Baihaqi dari Umar bin Hizam.

Seorang pengkaji semula hukum-hukum feqah dari Saudi, Syaikh Abu Yusof Abd Rahman Abd Samad, al-As’ilatu Thalatah Haulaha al-Jadal merumuskan dari perselisihan fuqaha’ ini, hukum pertengahan ialah makruh hukumnya orang berhadas menyentuh dan membawa mushaf.

DALIL DAN HUJAH

1. Dalil golongan yang mengatakan haram:

Firman Allah Ta’ala dalam Surah al-Waqiah ayat 78-79 :

Surah al-Waqiah 78-79

Pada Kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuzh), Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.

Ulama’ mengatakan ganti nama nya dalam ayat itu kembali kepada al-Quran, bukannya Luh Mahfuz. Akan tetapi mereka berbeza pendapat, apakah yang dimaksudkan dengan al-Mutahharun?

Ada yang berpendapat : Orang yang suci dari hadas dan najis. Manakala yang lain pula mengatakan : Suci dari syirik dan kekufuran, iaitu orang-orang mukmin. [sila rujuk Tafsir al-Qurtubi 17/226]

Sebahagian ulama’ berpendapat, ganti nama tersebut merujuk kepada Luh Mahfuz. Jadi, tidak boleh berhujah dengan ayat ini. al-Mutahharun pula adalah para Malaikat yang Allah bersihkan mereka dari tabiat yang negatif dan sifat-sifat yang tercela.

Ayat ini sebenarnya satu penafian dan penolakan kepada hujah golongan Musyrikin yang mendakwa Syaitanlah yang telah menurunkan kitab al-Quran ini. Sila rujuk ayat 210-212 surah al-Syu’ara’.

Surah al-Syuara' 210-212

Dan al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan. Dan tidaklah patut mereka membawa turun al-Quran itu, dan merekapun tidak akan Kuasa. Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar al-Quran itu.

Antara hujah yang menyokong pendapat ini, sebagaimana yang disebut oleh Qatadah ialah al-Quran boleh dipegang di dunia ini oleh si Majusi dan si Munafiq yang dianggap najis, sedangkan dalam ayat 79 surah al-Waqiah , ia tidak dipegang kecuali oleh mereka yang suci. [sila rujuk Tafsir al-Tabari 17/226]

Al-Alusi menyebut di dalam tafsirnya Ruhul Ma’ani (27/155) : Imam Sayuti menyebut di dalam kitab al-Ahkam: Imam Syafie berdalilkan ayat ini dengan mengatakan orang yang berhadas tidak boleh memegang al-Quran. Ini adalah pilihan yang zahir dari ayat ini.

Akan tetapi oleh kerana ada ihtimal (kemungkinan) ganti nama boleh kembali kepada Qur’an atau juga kepada Luh Mahfuz, dan maksud al-Mutahharun ialah Malaikat al-Muqarrabun, kebanyakan ulama’ yang mengatakannya haram berdasarkan kepada dalil daripada hadis.

Manakala Ibnu Rusyd pula berkata (Bidayatul Mujtahid 1/42) : Sebab khilaf ialah perkataan al-Mutahharun yang boleh membawa makna manusia dan juga malaikat, di samping ayat ini juga boleh jadi suatu perkhabaran yang bermaksud larangan dan juga boleh jadi perkhabaran semata-mata.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Muwatta’, dari Abdullah bin Abu Bakar bin Hazmi, bahawa dalam kitab yang ditulis oleh Rasulullah s.a.w kepada ‘Amru bin Hazmi terdapat: أن لا يمس القرآن إلا طاهر (bahawa tidak boleh memegang al-Quran kecuali orang yang suci) [Muwatta' 141].

Hadis ini merupakan petikan dari kitab yang ditulis oleh Nabi kepada ‘Amru bin Hazmi di Yaman. Kitab ini berada bersama kaum keluarga beliau selepas kematiannya.

Al-Dar al-Qutni dan al-Hakim pula meriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz telah menghantar wakil ke Madinah untuk mencari sesuatu petunjuk sunnah Nabi dalam bab zakat dan wakilnya itu telah menjumpai kitab ini dalam simpanan keturunan ‘Amru bin Hazmi [lihat komentar Syeikh Ahmad Syakir dlm kitab al-Muhalla oleh Ibn Hazmi 1/82].

Syeikh Ahmad Syakir menyebut bahawa beliau telah menjumpai hadis ini selengkapnya dalam Mustadrak al-Hakim (1/359, cetakan India) di mana sebahagian darinya terdapat juga di dalam Sahih Ibnu Hibban, Sunan al-Dar al-Qutni dan Sunan al-Nasaie.

Komentar tentang hadis ini ialah sanadnya mursal. Ibnu Abdil Barri berkata : Tiada khilaf dari Imam Malik bahawa hadis ini mursal. Walau bagaimanapun ia diriwayat secara bersanad dari jalan lain yang bagus.

Ia adalah sebuah kitab yang masyhur di kalangan ahli sejarah dan terkenal di kalangan ulama’ di mana kemasyhurannya itu menyebabkan ia tidak perlu (dilihat) kepada sanadnya [kata-kata ini dinukil oleh penyunting kitab Muwatta’ ms 141].

Ibnu Kathir menyebut bahawa Abu Daud telah meriwayatkan di dalam kitab al-Marasil dari hadis al-Zuhri bahawa beliau berkata : Aku telah membaca di dalam sahifah Abu Bakar bin Amru bin Hazmi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci.

Ibnu Kathir berkata : Ini adalah sesuatu yang bagus. Al-Zuhri dan lain-lain telah membacanya, dan yang seperti ini sepatutnya diambil (dipegang) [Tafsir Ibnu Kathir 6/537].

Hadis ini diriwayatkan secara bersambung sanadnya dari empat orang sahabat, iaitu ‘Amru bin Hazmi, Hakim bin Hizam, Ibnu Umar, dan Uthman bin Abi al-‘As.

Al-Marhum Syeikh Nasiruddin al-Albani [di dalam kitab Irwa’ul Ghalil (1/160-161)] telah menyebut kesemua sanad hadis ini dan kitab-kitab hadis yang mentakhrijnya, kemudian beliau berkata : Sesungguhnya kesemua jalan hadis ini tidak bebas dari unsur dhaif.

Akan tetapi dhaifnya itu adalah kecil kerana tiada perawi yang dituduh sebagai pendusta. ‘Illah hadis ini hanya irsal atau hafalan yang kurang baik, dan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam ilmu Mustolah al-Hadis bahawa setiap jalan periwayatan hadis boleh menguatkan di antara satu sama lain sekiranya tiada rawi yang dituduh pendusta.

Ini telah dinyatakan oleh al-Nawawi di dalam Taqribnya dan al-Suyuti di dalam syarahnya. Dan ini menyatakan penerimaan terhadap kesahihan hadis ini, lebih-lebih lagi Imam Ahmad telah berhujah dengan hadis ini.

Imam Ishaq bin Rahawaih juga telah mentashihkannya. Ishaq al-Maruzi berkata di dalam kitab Masail Imam Ahmad : Aku bertanya Imam Ahmad : Bolehkah seorang lelaki itu membaca Quran tanpa wudhu? Imam Ahmad menjawab : Ya, boleh. Tapi dia tidak boleh membacanya dengan memegang mushaf selagi dia tidak berwudhu.

Ini kerana telah thabit dari Nabi S.A.W : Tidak boleh menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci. Begitulah juga yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabiein.

Syeikh al-Bani juga menyebut bahawa telah thabit dan sah riwayat yang mengatakan Sa’ad bin Abi Waqas telah menyuruh anaknya Mus’ab supaya berwudhu dahulu sebelum menyentuh al-Quran. Ia diriwayatkan oleh Imam Malik dan al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.

Beliau juga berkata bahawa beliau telah membaca kitab Fawa’id Abi Syu’aib dan mendapati Imam al-Baghawi telah bertanya Imam Ahmad tentang hadis ini. Imam Ahmad berkata : Aku harap ianya sahih.

Sebenarnya kesahihan hadis ini juga telah dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Beliau telah berhujah dengan hadis ini di banyak tempat dalam kitabnya [lihat Majmu’ Fatawa 17/12 & 21/228]

Al-San’ani berkata : Kitab ‘Amru bin Hazmi telah sepakat diterima ramai. Ibnu Abdil Barri pula berkata : Ia seperti mutawatir kerana telah sepakat diterima ramai.

Ya’qub bin Sinan juga berkata : Aku tidak tahu di sana ada sebuah kitab yang lebih sahih dari kitab ini. Sesungguhnya para sahabat dan tabiein merujuk kepadanya dan meninggalkan pendapat mereka sendiri.

Al-Hakim berkata : Umar bin Abdul Aziz dan Imam zamannya, iaitu al-Zuhri telah menyaksikan bahawa kitab ini adalah sahih [lihat Subul al-Salam oleh al-San’ani 1/70]

2. Dalil golongan yang mengatakan boleh.

Ibnu Hazmi berkata : Membaca al-Quran, memegangnya, dan berzikir kepada Allah adalah perbuatan baik yang disunatkan dan diberi pahala kepada pelakunya. Sesiapa yang mengatakan ia dilarang perlulah membawakan bukti! [al-Muhalla 1/78]

Hadis dalam Sahih Bukhari : dari Ibnu Abbas bahawa Abu Sufyan ketika beliau berada di Syam sebelum keislamannya telah dipanggil oleh Raja Rom. Kemudian dibawakan surat Nabi S.A.W yang dihantar kepadanya menyeru beliau kepada Islam. Di dalam surat itu terdapat ayat 63 Surah ali-Imran.

Hujah mereka ialah Nabi S.A.W telah menulis kepada Raja Rom yang kafir dan beliau telah memegangnya. Sekiranya orang kafir boleh memegangnya, maka lebih-lebih lagilah orang yang berhadas.

HUKUM MENYENTUH AL-QURAN BUKAN DALAM BENTUK MUSHAF

Berkata Syeikh Abdul Rahman ibn Nasir al-Barraak :

Telefon bimbit dan alat-alat yang serupa dengannya dimana terdapat rakaman al-Quran didalamnya tidak termasuk dibawah hukum yang sama dengan mushaf, kerana huruf al-Quran didalam peralatan in adalah berbeza dari huruf didalam Mushaf.

Ia tidak berbentuk sebagaimana ia dibaca. Ia wujud sebagai bentuk gelombang yang membentuk huruf apabila diperlukan, maka ia dipaparkan di skrin, kemudian hilang apabila beralih kepada ayat lain. Berdasarkan ini, adalah dbenarkan memegang telefon bimbit atau kaset yang merakam al-Quran tersebut. Dibenarkan membacanya, walaupun tidak suci (tanpa wudhu).

KESIMPULAN

Terpulang kepada pembaca untuk berpegang kepada salah satu hukum sama ada boleh atau tidak menyentuh dan membawa al-Quran tanpa wudhu. Namun hukum membaca al-Quran tanpa wudhu adalah diharuskan.

Berdasarkan hujah dan dalil yang telah dikemukakan diatas, maka saya berpegang kepada hukum makruh menyentuh dan membawa al-Quran tanpa wudhu. Namun hukum ini diguna pakai pada mushaf sahaja. Manakala bagi peralatan dan gadget zaman moden ini tidak tertakluk pada hukum tersebut.

Related Posts with Thumbnails

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA FERRARI

REPLIKA FERRARI

REPLIKA BIKERZ

REPLIKA BIKERZ
Powered By Blogger

PERKEMAT DQ 06/07

PERKEMAT DQ 06/07

IBNU HAJI ABD KARIM © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO