Thursday 15 July 2010

"Imam Muda" Perhatian Dunia

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...


Sumber : www.hmetro.com.my (link)

PROGRAM realiti dakwah Imam Muda terus melakar sejarah kerana berita mengenainya mendapat perhatian media cetak dan elektronik di kebanyakan akhbar utama dunia.

Semakin ramai yang melayari Google, Youtube dan Facebook (FB) untuk mencari maklumat mengenai Imam Muda.

Ternyata Imam Muda membuka lebaran baru dalam program realiti yang bukan bercorak hiburan. Siapa sangka musim pertama program itu menjadi tarikan di seluruh dunia. Di kala ada pihak yang menuduh umat Islam pengganas, tiba-tiba Imam Muda menjadi program yang mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Antara media yang menyiarkan berita Imam Muda termasuk Reuters, AP, AFP, Wall Street Journal, The Daily Telegraph, New Straits Times Singapura, Der Spigel (majalah Jerman) dan Daily Tribune. Ada akhbar antarabangsa lain mendapatkan berita program itu menerusi akhbar lain dan juga dengan melayari Internet.

Berita keunikan dan keistimewaan program itu turut disiarkan di saluran televisyen ARD dan ZDF (saluran televisyen Jerman) dan BBC World. Perkembangan program ini turut dapat disaksikan penonton di Tokyo, Jepun, seluruh negara Eropah, Amerika Syarikat, Taiwan dan India.

Lebih membanggakan apabila Isnin lalu, kru produksi Imam Muda didatangi kru dari CNN dan Al-Jazeera.

Koresponden CNN yang berpengkalan di Bangkok, Dan Rivers berkata, program Imam Muda melambangkan corak hidup masyarakat Islam di Malaysia.

"Di Amerika Syarikat sendiri ada banyak program realiti popular seperti X-Factor namun Imam Muda sangat berbeza. Menerusi rakaman ini nanti, saya akan menjelaskan kepada penonton di Amerika kenapa Imam Muda berjaya menjadi program realiti paling popular di Malaysia sekarang.

"Saya mendapat tahu mengenai program ini selepas membaca beritanya yang disiarkan di akhbar Wall Street Journal dan youtube. Daripada maklumat yang saya peroleh, agama Islam itu sendiri sangat menarik dan bersifat terbuka kepada semua masyarakat.

"Cabaran dan tugasan yang diberikan kepada peserta Imam Muda juga dapat menarik minat golongan muda mendekati agama ini dan keunikan program ini apabila ia satu-satunya program realiti agama yang paling mendapat perhatian penonton," katanya.

Produser Kanan Al-Jazeera, Stephanie Scawen pula berkata, dia mengetahui mengenai kewujudan program Imam Muda selepas membacanya di akhbar Daily Telegraph, minggu lalu.

"Berita yang saya baca mengenai Imam Muda sangat menarik dan memang kita tidak sangka program realiti agama ini digemari ramai sedangkan ia bukanlah program bercorak hiburan. Konsep program ini belum pernah diterbitkan mana-mana stesen televisyen di dunia.

"Program ini melambangkan imej negara ini dan saya seperti tidak percaya apabila program ini begitu diminati. Disebabkan itulah saya datang ke rakaman program ini untuk melihatnya sendiri. Sememangnya ia program baru yang lain daripada lain," katanya.

Begitu pantas masa berlalu di mana program itu sudah hampir ke penghujungnya. Tinggal dua minggu saja lagi akan terjawablah siapa akan bergelar juara Imam Muda musim pertama.

Bagaimanapun, sebelum tibanya hari yang paling mendebarkan itu, pengetua program itu, Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz berkata, semakin menuju ke penghujung, soalan dan tugasan semakin sukar.

"Mereka kena menjawab soalan yang disediakan dalam tiga bahasa, Inggeris, Arab dan Melayu. Tugasan praktikal juga semakin mencabar di mana mereka kena pergi ke tempat pembuangan bayi dan rumah orang tua terbiar yang ditinggalkan anak sendiri.

"Untuk mengetahui apa yang terjadi sehingga sanggup membuang ibu bapa sendiri, peserta Imam Muda terpaksa mencari anak mereka untuk memberi nasihat. Mereka juga mesti berusaha lebih sedikit ketika membuat persembahan di pentas dan setiap apa yang mereka lakukan akan dikira markah.

"Waktu semakin suntuk dan saya tengok ada peserta tertekan kerana bimbang akan terkeluar. Ada yang merajuk, sedih dan tidak mahu bercakap kerana mereka tidak mahu dikeluarkan dari program ini, tetapi sudah format program ini begitu, pasti ada yang terpaksa menamatkan perjalanan mereka setakat itu saja.

"Bagi menenangkan perasaan mereka, terpaksa panggil pakar kaunseling untuk memberi nasihat. Mereka semua hebat, boleh membaca al-Quran dengan baik dan fasih berbahasa Arab.

"Mereka boleh menjadi pemimpin masyarakat dan imam yang baik.

"Saya selalu ingatkan mereka, perjuangan mereka yang sebenar adalah di luar sana. Menariknya nanti finalis program ini nanti akan balik ke kampung masing-masing untuk memimpin dan menjadi imam di tempat sendiri. Sudah lama tidak dapat balik kampung dan inilah masanya untuk berjumpa keluarga.

"Mereka akan mengendalikan aktiviti kemasyarakatan seperti mengadakan syarahan agama. Mereka perlu buktikan kebolehan dengan orang kampung dulu sebelum menabur jasa di tempat lain," katanya.

Bagaimanapun tambah Hassan, sekuat mana pun pegangan agama mereka, kesabaran mereka masih rendah kerana kerana usia yang muda dan tiada pengalaman hidup.

"Pengalaman itu sangat penting untuk berhadapan dengan apa saja keputusan dalam hidup ini. Mereka kena menerima kekalahan dengan hati terbuka kerana perjuangan mereka masih panjang. Jangan terlalu mengharapkan kemenangan dan jangan terkesima dengan populariti yang dikecapi ketika ini.

"Lantaran itu saya mengingatkan mereka sebagai orang yang dikenali ramai, berhati-hatilah melangkah kerana apa saja tindakan akan jadi buah mulut orang. Sentiasa bersikap merendah diri dan sehebat mana pun ilmu agama yang ada, hormatilah mereka yang lebih berusia. Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk," katanya.


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA FERRARI

REPLIKA FERRARI

REPLIKA BIKERZ

REPLIKA BIKERZ
Powered By Blogger

PERKEMAT DQ 06/07

PERKEMAT DQ 06/07

IBNU HAJI ABD KARIM © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO