Thursday 22 July 2010

"Imam Muda" Bagai Penawar

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Populariti IM dianggap dapat seimbangkan program hiburan sedia ada

Sumber : www.bharian.com.my

JIKA dulu ada suara yang membisikkan bahawa program ilmiah pertama di dunia yang melahirkan pemimpin Islam berkaliber, Imam Muda bakal mendapat kritikan. Semuanya adalah disebabkan faktor agama yang membataskan perjalanannya.

Sebaliknya semua yang membataskan itu datang sendirinya daripada orang Islam yang tidak yakin dengan pegangan sendiri. Kini seluruh dunia termasuk negara bukan Islam sedang bercerita mengenai program yang bakal berakhir 30 Julai ini.

Sebelum ini juga, stesen televisyen dunia termasuk negara kita kian sarat dengan pelbagai program hiburan yang tidak lain mengajak penonton mencari kebendaan duniawi semata.

Sebaik gabungan antara satu badan penyiaran swasta, Astro Oasis bersama agensi kerajaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang keduanya mempunyai hala tuju yang berbeza, Imam Muda menjadi pencetus kepada dunia penyiaran dunia.

Kesempatan menemubual Mudir Imam Muda yang juga mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hassan Mahmud berkata, kejayaan program ini memang membuka mata banyak stesen TV dari negara luar.

“Program ini berjaya kerana adanya orang dalam Astro yang pakar dalam bidang produksi dan aspek komersial. Ia juga disiarkan di saluran media iaitu televisyen yang dianggap sebagai ‘kotak beracun’.
“Banyak racun di dalamnya berbanding penawarnya. Sekarang dengan adanya program seperti ini ia dapat menjadi penawar kepada program hiburan sedia ada.

“Antara kejayaan besar yang dapat dilihat adalah dapat menyampaikan mesej perpaduan di dalamnya, kasih sayang kerana inilah kekuatan bagi kita sebagai manusia,” katanya yang ditemui pada sesi rakaman program ini bagi episod kesembilan baru-baru ini.

Program yang menggunakan modul pendidikan sepenuhnya daripada JAWI itu dinilai 100 peratus daripada prestasi teori dan praktikal peserta tiap minggu berlandaskan tahap yang ditentukan.

“Setiap mereka yang mendapat markah tinggi dari segi peperiksaan teori dan praktikal, dialah yang layak ke peringkat seterusnya dan yang gagal pada satu tahap yang ditetapkan, ‘dihentikan’ perjalanan mereka daripada program ini.

“Soalan yang diberikan kepada mereka bukan sembarangan soalan tetapi soalan yang di peringkat tinggi. Boleh dikatakan setaraf dengan soalan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di dalam pelbagai subjek di dalamnya. Setiap minggu soalan yang diberikan semakin berat dan sulit untuk diselesaikan.

“Ada soalan objektif dan soalan yang memerlukan mereka memberi pendapat dan idea, daripada situ markah mereka dinilai kerana kita mencari imam muda yang berketrampilan dan serba boleh serta mudah berhadapan dengan masyarakat,” katanya yang bukan saja menekankan subjek agama tetapi mereka juga harus mahir menggunakan bahasa Inggeris dan Arab.

Sehingga kini banyak ilmu yang sudah dicurahkan sebagai bekalan kepada mereka sebelum bersedia melangkah ke dunia sebenar selepas berakhirnya program ini.

“Apa yang kita bagi kepada mereka adalah secara global, mereka ini sudah memiliki ilmu agama sendiri kerana kebanyakan mereka adalah lepasan universiti bukan saja di negara ini malah dari luar negara yang berkaitan pengajian Islam.

“Di sini kita bagi tugasan kepada mereka bagaimana mereka ingin menguruskan orang ramai, masjid, bagai mana mereka nak menjadi cemerlang agar orang ramai mudah mendekati masjid, semua diajar di sini.

“10 Imam Muda ini bakal melahirkan 1,000 lagi Imam Muda yang lain seperti mana mereka melahirkan tokoh dari bidang lain,” katanya yang juga tidak pernah tidak menjangka program ini akan menembusi pasaran antarabangsa selepas memasuki episod ketiga lalu.

Imam Muda yang disiarkan Astro Oasis saluran 106 jam 9 malam setiap Jumaat akan berakhir 30 Julai ini di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA KERETA ANTIK

REPLIKA FERRARI

REPLIKA FERRARI

REPLIKA BIKERZ

REPLIKA BIKERZ
Powered By Blogger

PERKEMAT DQ 06/07

PERKEMAT DQ 06/07

IBNU HAJI ABD KARIM © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO