Salahudin Bebas Baitulmaqdis Daripada Cengkaman Kristian...
Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...
Sumber : Klik di sini
PERNAH solat Jumaat tidak didirikan selama 90 tahun di Baitulmaqdis kerana dikuasai tentera Kristian. Tetapi selepas tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Salahuddin al-Ayyubi, menakluki Kota Suci Ketiga umat Islam itu, solat Jumaat didirikan semula di sana pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah/1187 Masihi.
Salahuddin al-Ayyubi mempunyai jiwa pejuang yang ilmuwan. Keilmuan al-Ayyubi terserlah sejak dia kanak-kanak. Dia memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh dan mengetahui setiap suku kaum Arab serta adat mereka. Bahkan dia mengetahui sifat kuda Arab walaupun dia beretnik Kurd, utara Iraq. Di samping al-Quran, dia banyak menghafal syair Arab. Salahuddin mempunyai pengetahuan luas dan gemar mendalami bidang akidah, ilmu hadis, sanad dan perawinya, syariah dan usul fiqh dan tafsir al-Quran.
Nama sebenar al-Ayyubi ialah Yusuf bin Ayyub, lahir pada 1137 Masihi. Dia dilahirkan dalam keluarga Kurdi di Tikrit dan dihantar ke Damsyik untuk menghabiskan pelajarannya. Ayahnya, Najmuddin Ayyub adalah gabenor wilayah Balbaik.
Salahuddin menerima latihan ketenteraan daripada bapa saudaranya, Shirkuh panglima kepada Nuruddin dan sering mewakili Nuruddin dalam kempennya menentang Kerajaan Fatimiyah di Mesir sekitar 1160 Masihi. Salahuddin kemudiannya mewarisi tugas menentang Kerajaan Fatimiyyah (akhirnya tumpas) daripada bapa saudaranya dan dilantik menjadi panglima pada 1169 Masihi.
Ketika Salahuddin menguasai Mesir, dia berubah. Dia yakin bahawa Allah mempertanggungjawabkan kepadanya tugas berat yang tidak mungkin dapat dilaksanakan jika dia tidak bersungguh-sungguh. Sejurus dia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenangannya lenyap.
Dia menumpukan seluruh tenaganya membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir daripada tanah air Islam sejak 1099 Masihi. Salahuddin pernah berkata: “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku.”
Perang Hittin antara Salahuddin dan gabungan kuasa Guy dari Lusignan, raja negeri Salib, dan Raymond III dari Tripoli pada 1187 Masihi menyaksikan kejayaan memihak tentera Islam. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin ditawan bersama Reginald dari Chatillon.
Ramai tentera Salib berpangkat tinggi ditawan. Stanley Lane-Poole menceritakan seorang tentera Islam membawa 30 tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian mati dalam peperangan berkenaan.
Kejayaan tentera Islam menawan semula Baitulmaqdis mengakibatkan terjadinya Perang Salib Ketiga yang dibiayai di England melalui cukai khas yang dikenali sebagai ‘Cukai Salahuddin’.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa, Raja Jerman, Richard The Lion, Raja England, Philips Augustus, Raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders bersatu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan ini berlanjutan selama lima tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat perjanjian di Ramla pada 1192 Masihi. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah penguasa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib Ketiga.
Mengenai Salahuddin dan Raja Richard, kedua-dua pemimpin amat menghormati antara satu sama lain. Mereka juga pernah bercadang untuk berdamai dengan mengahwinkan adik perempuan Richard, Joan kepada adik lelaki Salahuddin, al-Adil, dengan kota Baitulmaqdis menjadi hantarannya. Rundingan ini gagal berikutan kebimbangan berhubung hal agama antara kedua-dua pihak.
Salahuddin Al-Ayubbi wafat pada 4 Mac 1193 di Kota Damsyik selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika dia wafat, malah harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk belanja pengebumiannya.
Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung belanja pengebumian itu. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya. Salahuddin sudah memberikan hampir kesemua hartanya kepada rakyatnya yang miskin dan sifat inilah yang menjadikan Salahuddin sebesar namanya dalam sejarah Islam.
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment